Kata-kata Aluan dan Profil Pemilik Blog ツ

My photo
Batu Pahat, Malaysia
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia . Saya , Nur Syarah Rabiha Binti Baharudin mewakili SMK Convent , Batu Pahat Johor. Berumur 17 tahun . Saya merupakan calon SPM 2011 dan mengambil subjek Prinsip Perakaunan dan Ekonomi Asas sebagai subjek peperiksaan saya . Oleh itu , saya mempunyai sedikit asas-asas ilmu mengenai kewangan . Blog ini ditubuhkan adalah untuk saya berkongsi sedikit sebanyak ilmu mengenai wang dan bagaimana ingin menjadi seseorang yang celik wang . Tidak semua mampu menyimpan wang dengan bijak . Ingin tahu lebih lanjut , sila follow blog saya ini dan click "LIKE" di Fan page Facebook . Selamat Membaca dan jangan lupa tinggalkan komen atau soalan anda . Terima Kasih :)

Saturday, 28 May 2011

SENTIASA BERWASPADA TERHADAP KESELAMATAN PERBANKAN INTERNET


Salam ! Malaysia
 

Pada 11 April, media melaporkan berita tentang seorang pengguna yang terperdaya dengan e-mel yang diterima, yang menyatakan bahawa akaun banknya telah dibekukan. Bagi membolehkan akaun tersebut diaktifkan semula, pengguna tersebut diminta untuk memasukkan nama pengguna dan kata laluan di dalam laman web yang disertakan pautannya dalam e-mel tersebut. Laman web tersebut seakan-akan laman web bank pengguna tersebut. Selepas butiran peribadi tersebut dimasukkan, sebanyak RM 5,000 dalam akaun pengguna tersebut telah lesap.

Perkhidmatan perbankan internet telah bermula di Malaysia sejak tahun 2001. Menurut kajian yang dijalankan oleh AC Nielsen, perbankan internet merupakan salah satu perkhidmatan yang popular digunakan oleh pengguna internet di Malaysia.
Kes penipuan e-mel yang dikenali sebagai phishing ini bukanlah suatu yang baru. Bagi mereka yang mengetahui tentang kewujudannya, akan segera memusnahkan e-mel tersebut. Namun begitu, masih ada juga mangsa yang terjebak kerana e-mel phishing yang meletakkan pautan ke laman web palsu yang seakan-akan seperti laman web yang sebenarnya.
Ini telah mengelirukan mangsa sehingga menyebabkan mereka memasukkan butir-butir peribadi mereka. Menurut satu kaji selidik yang dijalankan oleh Universiti Harvard pada tahun 2006, laman web phishing yang direka bentuk dengan baik dapat memperdaya 90% orang yang mengambil bahagian dalam kaji selidik tersebut. Wang hasil peluh mangsa dipancing oleh penipu dengan beberapa klik sahaja.
CyberSecurity Malaysia telah menerima sebanyak 143 kes phishing yang mensasarkan laman web perbankan internet di Malaysia pada tahun 2010. Aduan yang diterima tidak dapat mengambarkan situasi realiti kes phishing yang sedang berleluasa. Pengguna perlu memberikan perhatian yang serius terhadap laman web phishing ini dan melaporkan kepada pihak berkenaan supaya laman web palsu tersebut ditutup agar orang ramai tidak terjebak kepada muslihat tersebut.

Pengguna internet perlu memahami bahawa institusi kewangan tidak membuat urusniaga yang berkaitan dengan akaun pelanggan mereka dengan melalui e-mel, seperti meminta nama pengguna dan kata laluan untuk mengemas kini akaun perbankan internet.

Apabila  menggunakan perkhidmatan perbankan internet, pengguna haruslah:
  1. - Memasuki laman internet itu dengan menaipkan URL yang betul. Jangan memasuki laman web tersebut menerusi pautan (link)
  2. - Selalu signout selepas selesai membuat urusan dengan perbankan internet.
  3. - Jangan memberitahu sesiapa tentang nama pengguna dan kata laluan anda. Ini merupakan maklumat peribadi yang penting
  4. - Jangan menyimpan nama pengguna dan kata laluan anda dalam komputer
  5. - Cetak penyata urusan perbankan anda sebagai rekod untuk memudahkan anda untuk mengesan balik urusan tersebut kelak.
  6. - Sentiasa menyemak butir-butir sejarah transaksi dan penyata anda untuk memastikan tiada transaksi yang tidak dibenarkan
  7. - Jangan membalas sebarang permintaan yang cuba mendapatkan nama pengguna dan kata laluan akaun anda melalui telefon, faks, ataupun e-mel, walaupun ia nampak sebagai urusan rasmi atau penting
Pengguna juga perlu meningkat pengetahuan tentang teknologi terkini serta menyedari pelbagai bentuk penipuan yang berlaku kerana ia mungkin akan terjadi kepada diri mereka suatu hari nanti.  Pengguna perlu sentiasa beringat bahawa tiada benda yang percuma di dunia ini. Jangan mudah terperdaya oleh umpan-umpan yang kelihatan menarik tetapi berbahaya. Uubahlah pemikiran supaya tidak tamak dan sentiasa berwaspada kepada risiko yang tersembunyi.

Tuesday, 24 May 2011

10 TIPS BERNIAGA DI FACEBOOK


SALAM 1 MALAYSIA  

1) BIASAKAN DIRI 
Sebelum anda membuat keputusan untuk menggunakan Facebook sebagai platform pemasaran bisnes anda, bina akaun profil peribadi anda sendiri terlebih dahulu di Facebook untuk membiasakan diri dengan servis rangkaian sosial ini dan bagaimana selok-belok di dalamnya. 

2) PERANCANGAN
Sepertimana strategi pemasaran dan jualan lain, berniaga diFacebook juga memerlukan perancangan. Pastikan apa dan bagaimana anda ingin mempromosikan barangan anda dan kemudian lakukan di Facebook. Rancang dahulu.

3) BIAR LAMBAT TIDAK MENGAPA 
Anda tidak boleh mengharapkan respon sekelip mata. Ia memerlukan masa untuk membina dan mendapatkan respon yang anda harapkan. Satu hari nanti, satu minggu atau sebulan mungkin tidak mencukupi. Bina asas peminat (fan) terlebih dahulu untuk memlihat manfaatnya.

4) Facebook Page, Bukan Profil Baru
Elakkan diri daripada dihalang menggunakan Facebook kerana menggunakan beberapa akaun untuk profil anda. Sekiranya anda sudah mempunyai akaun Facebook dan profil, apa yang anda perlukan hanyalah membina Facebook Page untuk tujuan perniagaan ini. Menu ini boleh didapati di bahagian bawah laman Facebook. Pilih kategori yang bersesuai. 

5) Butang Like
Butang "Like" Facebook membenarkan orang ramai berkongsi senarai tawaran yang anda anda sediakan. Dengan klik butang "Like", mereka boleh mengekses maklumat yang anda sediakan di muka Facebook anda. Ia membenarkan peminat anda klik "Like" dan meninggalkan komen. Boleh juga memasang butang "Like" ini pada laman web atau blog. 

6) Blog-Facebook 
Terdapat banyak juga aplikasi di luar sana yang mampu menghubungkan Blog atau suapan berita ke laman web Facebook anda. 

7) Berhubung
Untuk memastikan orang ramai mengunjungi muka Facebook anda, anda juga perlu berhubung dengan komuniti. 'Add' individu-individu yang dirasakan bersesuaian dengan tawaran anda atau serta komuniti anda. Facebook juga mempunyai laman blog dan forum.

8) Orang Berbudi Kita Berbakti
Sekiranya anda menerima banyak peminat baru, adalah baik untuk anda membina komunikasi dan hubungan dengan mereka secara langsung. Hantar mesej atau respon kepada setiap satu peminat anda sebagai tanda penghargaan mereka. 

9) Jual barangan di Facebook Marketplace
Tahukah anda bahawa di dalam Facebook terdapat aplikasi yang dinamakan Facebook Marketplace. Ia seperti eBey dan disini anda boleh menjual, membeli atau menyewakan hampir apa sahaja . Namun , anda harus bijak menggunakannya.

10) Iklan Berbayar
Facebook menawarkan aplikasi dan servis iklan berbayar. Sekiranya anda benar-benar serius hendak mencubanya, anda bolehlah memilih cara ini. Bajet pengiklanan juga boleh ditetapkan mengikut kemampuan anda . Namun , berhati-hati ya , jangan terpedaya.









Friday, 20 May 2011

MENDIDIK ANAK TENTANG PENGURUSAN KEWANGAN

Salam 1 Malaysia 

Tidak terlalu awal untuk mengajar anak anda tentang pengurusan kewangan. Kebanyakan syarikat kini menjadikan kanak-kanak seawall usia 18 bulan sebagai sasaran untuk memasarkan produk mereka. Didiklah anak anda tentang pengurusan kewangan sebelum syarikat tersebut mengajar mereka untuk berbelanja. Kanak-kanak boleh diajar untuk menyimpan duit dalam tabung walaupun sebelum mereka tahu cara untuk mengira duit. Bak kata pepatah melayu "Meluntur buluh biarlah dari rebungnya" .

Mengajar anak anda tentang pengurusan kewangan dari usia muda dapat membimbing mereka menuju ke arah masa depan yang celik kewangan. 

Kenali tentang wang
Kebanyakan kanak-kanak tidak tahu dari mana datangnya wang. Mereka menganggap wang datang dari bank atau poket ibu bapa mereka. Oleh itu amat penting untuk memberi kefahaman kepada mereka bahawa wang bukan jatuh dari langit. Seseorang itu perlu bekerja untuk mendapatkan gaji. Dengan ini, mereka akan memahami bahawa sukar bagi ibu bapa untuk mendapatkan wang, dan mereka tidak sepatutnya membazir wang.

Pada peringkat awal, anda perlu mengajar anak anda tentang duit kertas dan syiling. Biarkan mereka untuk cuba umembuat bayaran sendiri semasa membeli barang. Nilai untuk wang
Semasa membeli belah, anda boleh menunjukkan kepada anak anda produk sama dengan jenama dan harga yang berlainan. Kira produk yang mana adalah senilai dengan harganya. Terangkan kepada mereka cara untuk membandingkan harga barangan yang berlainan jenama dan di kedai yang berlainan sebelum membeli sesuatu barang. Bawa mereka ke pusat membeli belah untuk membiasakan mereka dengan harga pasaran sesuatu barang.

Menetapkan matlamat kewangan

Ketahui benda yang anak anda hendak membeli. Bantu mereka untuk menetapkan satu matlamat kewangan benda yang mereka hendak beli sekarang (jangka masa pendek) dan juga benda yang mereka hendak beli kemudian (jangka masa panjang). Selepas menetapkan matlamat, bantu mereka untuk memikirkan cara mereka boleh mencapai matlamat mereka seperti menabung.

Proses ini bukan sahaja dapat membantu anak anda untuk menguruskan wang mereka dengan baik, tetapi juga dapat memenuhi kepuasan mereka. Ini berlaku semasa mereka mencapai matlamat mereka dengan wang yang mereka simpan.

Perbelanjaan

Ajar anak anda tentang kuasa pembelian mereka, iaitu berapa yang mereka miliki dan berapa yang mereka mampu untuk berbelanja. Biar mereka faham bahawa wang akan habis jika digunakan. Ajar mereka tentang konsep keperluan dan kemahuan, iaitu mereka perlu memahami dan tahu membezakan benda yang mereka betul-betul memerlukan dan benda yang mereka mahu untuk kepuasan diri.

Ajar anak anda untuk berbelanja secara bijak dan tidak dipengaruhi oleh media. Berbincang dengan mereka dengan iklan yang mereka tengok. Bincang dengan mereka dakwaan dan gimik iklan tersebut serta benda yang sebenarnya dijualkan oleh syarikat tersebut. Contohnya, serbuk pencuci yang mengatakan baju akan menjadi putih selepas menggunakannya, sebenarnya tidak seputih dalam iklan.



Simpanan
Berbincang dengan anak cara mereka dapat menyimpan wang dengan:
- Menyimpan sebahagian wang  daripada wang saku harian mereka
- Mengaitkan simpanan dengan benda yang mereka hendak membeli. Ini akan mendorong mereka untuk menyimpan

Tunjukkan kepada anak anda jika dia menyimpan RM1 sehari, maka pada akhir bulan dia akan mempunyai RM30.

Berbincang dengan mereka amaun yang mereka perlu simpan daripada duit saku mereka setiap hari untuk mencapai matlamat mereka. Galakkan anak anda dengan menyimpan secara berterusan dengan menambahkan tabung mereka jika mereka menabung untuk suatu jangka masa. Pengalaman simpanan pertama yang baik akan menggalakkan anak anda untuk menyimpan lagi.

Membantu yang lain
Berbincang dengan anak anda tentang membantu orang lain yang bernasib malang dari segi wang, barangan atau sokongan. Ini boleh dibuat dengan membantu saudara-mara atau kawan-kawan yang memerlukan pertolongan. Berkongsi dengan mereka pengalaman seseorang yang pernah membantu anda atau yang anda pernah membantu orang lain. Anda juga boleh membaca berita tentang sesuatu kerja amal yang telah dijalankan oleh sesuatu organisasi atau seseorang.

Melibatkan anak anda dalam kewangan keluarga
Kadang kala ibu bapa menghadapi kesukaran untuk melarang anak mereka membeli sesuatu barang. Anda hendaklah memberitahu anak anda tentang kedudukan kewangan keluarga dengan menerangkan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan bulanan rumah (rumah, kereta, bil-bil, pendidikan). Dengan ini mereka dapat memahami situasi kewangan rumah dan tidak membazirkan duit dengan sesuka hati. Libatkan mereka dalam membuat keputusan membeli sesuatu barangan rumah seperti TV. Mereka akan berasa mereka juga salah satu ahli keluarga yang bertanggungjawab untuk menjaga kewangan keluarga.

Saturday, 7 May 2011

BERHEMAT KETIKA JUALAN MURAH

Jualan  murah, harga runtuh, tawaran potongan harga 50 hingga 80 peratus, di pusat membeli-belah sering mendapat perhatian yang menggalakkan daripada pengguna terutamanya golongan wanita yang gemar berbelanja sakan. Persoalannya, adakah jualan murah ini benar-benar wujud atau ia sengaja digunakan oleh peniaga untuk mengaut keuntungan, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

Contohnya, sehelai selimut tertera dua label harga iaitu RM455 dan selepas diberi diskaun kononnya sebanyak 80 peratus, maka harganya turun mendadak kepada RM109.20.  Tarikh yang tertera pada label harga diskaun ialah 10 Mei 2011 bermakna ia dicetak pada hari berkenaan sementara label dengan harga RM455 – yang kononnya harga asal – tertera tarikh 22 April 2011.

Kesimpulan mudahnya iaitu pengguna ditipu oleh penjual yang tidak bertangggungjawab, kononnya mereka membeli dengan harga diskaun yang sangat menarik, sedangkan sebenarnya pembeli membayar pada harga asal produk. Semasa jualan murah diadakan, terdapat ribuan produk yang dijual dengan tawaran potongan harga bagi menarik perhatian pembeli, yang tanpa disedari mereka sebenarnya terpedaya. Bayangkan keuntungan yang diperoleh peniaga sekiranya taktik serupa dilakukan setiap kali promosi jualan. Tiada siapa yang menyangka, penipuan licik seperti itu didalangi oleh pusat membeli-belah terkenal, bukannnya gerai di pasar malam atau di tepi-tepi jalan.

Taktik jualan murah menjadi tempat peniaga mencari keuntungan dengan cara yang mudah kerana mereka tahu pengguna pasti membeli produk pada harga yang murah.  Di sinilah pentingnya ilmu kepenggunaan, kerana ia dapat membantu pengguna membuat penilaian terhadap kesahihan harga sesuatu produk sebelum dan ketika promosi jualan murah diadakan.

Membaca label dan melihat tanda harga adalah penting, tapi pengguna sering mengabaikannya. Inilah yang selalu menjadi punca kepada penipuan tanda harga. Sikap tidak suka membaca tanda harga pada produk perlu dikikis untuk menjadi pengguna yang berhemat.

Sikap pengguna yang pantang ternampak iklan jualan murah, pasti akan berpusu-pusu ke pusat beli-belah berkenaan untuk membeli-belah, dipergunakan sepenuhnya oleh pusat membeli belah untuk melariskan produk jualan mereka. Tabiat ini perlu dihentikan, sebaliknya belilah barangan yang dirasakan perlu dan jangan membazir dalam berbelanja. Dengan ini barulah anda boleh menjadi pengguna yang berhemat.



Friday, 6 May 2011

PERBELANJAAN RAKYAT MALAYSIA






Adakah kehidupan di bandar memerlukan perbelanjaan yang tinggi? Berdasarkan satu soal selidik yang telah dijalankan di Kuala Lumpur, kebanyakan penduduk Kuala Lumpur menghabiskan banyak wang untuk menggunakan peralatan elektronik teknologi yang moden dan tinggi.

Mengikut kajian yang dibuat oleh Synovate, separuh daripada penduduk yang berpendapatan RM5000 sebulan mempunyai sebuah television plasma di rumah. Manakala bilangan orang yang mempunyai telefon bimbit berteknologi tinggi (smartphone) telah meningkat sebanyak 33% pada tahun 2010, berbanding pada tahun 2009.

Selain Malaysia, negara Hong Kong, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Filipina, Indonesia, Australia dan Jepun juga terlibat dalam kajian ini.
Menurut Pengurus Besar Synovate Cawangan Malaysia, Ben Llewellyn, pengguna di Malaysia suka berbelanja tanpa mengira sama ada keadaan ekonomi adalah baik ataupun buruk. Selain itu, beliau juga berkata bahawa pengguna di Malaysia mempunyai ketaatan terhadap sesuatu jenama.

”Mereka banyak berbelanja dalam peralatan elektronik teknologi tinggi seperti televisyen, telefon bimbit dan komputer riba. 71.2% orang yang ditemubual berkata bahawa mereka suka dipandang oleh orang ramai semasa mereka menggunakan ataupun memiliki peralatan tersebut.” ujar beliau.

Di samping itu, beliau juga berkata bahawa keadaan ini akan berlarutan sehingga tahun hadapan.

Perbelanjaan lain ialah:
  1. 96.2% penduduk di Kuala Lumpur paling berpotensi memiliki kereta sendiri; Sydney 94%, Seoul 91.9%
  2. 24.5% penduduk di Kuala Lumpur akan membeli kereta dalam satu tahun lagi, kebanyakan berkata akan bertukar ke kereta yang lebih baik daripada kereta sekarang.
  3. Dalam masa 4 minggu, pembelian kosmetik dan minyak wangi meningkat dari RM213 kepada RM232 dalam sebulan.
  4. 64.4% bangga bahawa mereka mengetahui maklumat terkini dan terbaru.
  5. 75% orang berkata berbelanja untuk mendapat mutu kehidupan yang tinggi dan baik adalah munasabah. 



 

Berbelanja Dengan Sistem Sampul




Pengguna dan isi rumah pada hari ini berhadapan dengan masalah isu kenaikan harga makanan, kenaikan harga petrol dan perkhidmatan-perkhidmatan lain.
FOMCA di bawah Program Celik Kewangan sering mengesyorkan agar pengguna menyediakan bajet peribadi pada awal bulan untuk mengetahui  perbelanjaan yang diperuntukkan. Pengguna dapat  mengenal pasti aliran tunai sebenar perbelanjaan pada akhir bulan.

Salah satu kaedah yang boleh diamalkan oleh pengguna untuk menyediakan bajet peribadi ialah menggunakan sistem sampul.
Pengguna perlu menyediakan beberapa keping sampul surat, salinan bajet dan pensil untuk menyediakan bajet ini.


Langkah 1 : Sediakan bajet.
Anda harus mengenal pasti jumlah pendapatan atau sumber yang akan diterima pada bulan tersebut dan jumlah perbelanjaan yang akan digunakan. Langkah penyediaan bajet akan memberi kesan terhadap situasi kewangan anda.

Langkah 2: Bahagikan perbelanjaan kepada beberapa kategori
Teliti bajet anda dan bahagikan kepada beberapa kategori seperti makanan, penggunaan petrol, pakaian, peralatan rumah, hiburan dan sebagainya. Wujudkan sampul dengan menulis kategori-kategori yang dinyatakan dalam bajet pada setiap sampul.

Langkah 3 : Isikan sampul dengan bajet yang telah diperuntukkan.
Isikan sampul dengan wang yang telah diperuntukkan dalam bajet mengikut kategori.

Langkah 4 : Belanjakan wang
Gunakan wang yang diperuntukkan mengikut kategori sampul. Contohnya, untuk membeli bahan makanan, gunakan wang daripada sampul kategori makanan, Gunakan wang daripada sampul tersebut sehingga habis peruntukan. Pada ketika ini, perbelanjaan bagi kategori yang tidak popular harus dihentikan atau dikurangkan apabila menyediakan bajet bulan hadapan.

Langkah 5: Letakkan mana-mana wang lebihan untuk simpanan
Sekiranya anda mempunyai lebihan wang dalam sampul pada hujung bulan, jadikan ia sebagai tambahan simpanan anda atau gunakan untuk tambahan bayaran kepada liabiliti atau hutang.

Langkah 6 : Isikan semula bajet anda untuk bulan hadapan.Isikan semula wang mengikut bajet ke dalam sampul. Setiap bulan adalah peluang baru dalam menyediakan bajet anda.

Untuk membantu anda mengikuti langkah-langkah di atas, berikut adalah sedikit tip ingin dikongsikan agar impian dan hasrat anda benar-benar menjadi kenyataan.

a) Alihkan peruntukan kategori-kategori anda pada bulan pertama sehingga anda rasa jumlah tersebut bersesuaian dengan bajet sebenar.
 
b) Sekiranya anda tidak membuat pembelian secara tunai, ambil masa beberapa bulan untuk menyesuaikan bajet anda dalam sistem sampul ini. Jangan terus mengalah sekiranya anda tidak dapat mematuhi bajet. Anda harus gigih usaha pada bulan seterusnya.
 
c) Sekiranya anda tidak dapat mematuhi sistem sampul secara bulanan, mulakan secara mingguan atau dwi mingguan. Ia bermatlamatkan untuk mewujudkan suatu sistem yang berkesan untuk anda.
 
d) Walaupun anda menggunakan sistem sampul dengan menggunakan wang tunai, namun anda masih boleh berbelanja menggunakan kad debit. Anda hanya perlu menolak setiap pembelian anda dan catatkan di belakang sampul. Hentikan pembelian sekiranya baki sampul surat menunjukkan “0”.


*sumber dari : Laman Berita Pengguna