Contohnya, sehelai selimut tertera dua label harga iaitu RM455 dan selepas diberi diskaun kononnya sebanyak 80 peratus, maka harganya turun mendadak kepada RM109.20. Tarikh yang tertera pada label harga diskaun ialah 10 Mei 2011 bermakna ia dicetak pada hari berkenaan sementara label dengan harga RM455 – yang kononnya harga asal – tertera tarikh 22 April 2011.
Kesimpulan mudahnya iaitu pengguna ditipu oleh penjual yang tidak bertangggungjawab, kononnya mereka membeli dengan harga diskaun yang sangat menarik, sedangkan sebenarnya pembeli membayar pada harga asal produk. Semasa jualan murah diadakan, terdapat ribuan produk yang dijual dengan tawaran potongan harga bagi menarik perhatian pembeli, yang tanpa disedari mereka sebenarnya terpedaya. Bayangkan keuntungan yang diperoleh peniaga sekiranya taktik serupa dilakukan setiap kali promosi jualan. Tiada siapa yang menyangka, penipuan licik seperti itu didalangi oleh pusat membeli-belah terkenal, bukannnya gerai di pasar malam atau di tepi-tepi jalan.
Taktik jualan murah menjadi tempat peniaga mencari keuntungan dengan cara yang mudah kerana mereka tahu pengguna pasti membeli produk pada harga yang murah. Di sinilah pentingnya ilmu kepenggunaan, kerana ia dapat membantu pengguna membuat penilaian terhadap kesahihan harga sesuatu produk sebelum dan ketika promosi jualan murah diadakan.
Membaca label dan melihat tanda harga adalah penting, tapi pengguna sering mengabaikannya. Inilah yang selalu menjadi punca kepada penipuan tanda harga. Sikap tidak suka membaca tanda harga pada produk perlu dikikis untuk menjadi pengguna yang berhemat.
Sikap pengguna yang pantang ternampak iklan jualan murah, pasti akan berpusu-pusu ke pusat beli-belah berkenaan untuk membeli-belah, dipergunakan sepenuhnya oleh pusat membeli belah untuk melariskan produk jualan mereka. Tabiat ini perlu dihentikan, sebaliknya belilah barangan yang dirasakan perlu dan jangan membazir dalam berbelanja. Dengan ini barulah anda boleh menjadi pengguna yang berhemat.
No comments:
Post a Comment