Kata-kata Aluan dan Profil Pemilik Blog ツ

My photo
Batu Pahat, Malaysia
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia . Saya , Nur Syarah Rabiha Binti Baharudin mewakili SMK Convent , Batu Pahat Johor. Berumur 17 tahun . Saya merupakan calon SPM 2011 dan mengambil subjek Prinsip Perakaunan dan Ekonomi Asas sebagai subjek peperiksaan saya . Oleh itu , saya mempunyai sedikit asas-asas ilmu mengenai kewangan . Blog ini ditubuhkan adalah untuk saya berkongsi sedikit sebanyak ilmu mengenai wang dan bagaimana ingin menjadi seseorang yang celik wang . Tidak semua mampu menyimpan wang dengan bijak . Ingin tahu lebih lanjut , sila follow blog saya ini dan click "LIKE" di Fan page Facebook . Selamat Membaca dan jangan lupa tinggalkan komen atau soalan anda . Terima Kasih :)

Thursday 16 June 2011

HAK-HAK PENGGUNA MALAYSIA

Salam 1 Malaysia

4.0 HAK-HAK PENGGUNA

4.1 - Pada masa ini, lapan hak asasi pengguna ini telah diterima secara universal. Selain daripada mengiktiraf 15 Mac sebagai Hari Hak - Hak Pengguna Sedunia, aspek-aspek hak asasi pengguna ini diambil kira apabila negara menggubal, meminda atau mengkaji semula sesuatu undang-undang yang ada hubungkait dengan pengguna.

4.2 - Dalam tahun 1962, J.F. Kennedy, Presiden Amerika Syarikat pada masa itu, telah mengenalpasti dan mengisytiharkan empat hak asasi pengguna seperti berikut :
(a) Hak Untuk Mendapat Keselamatan;
(b) Hak Untuk Mendapat Maklumat;
(c) Hak Untuk Membuat Pilihan; dan
(d) Hak Untuk Menyuarakan Pendapat.

4.3 - Kemudiannya, Consumers International, di samping mengiktiraf hak - hak asasi pengguna yang telah diisytiharkan oleh JR Kennedy itu, telah mengenalpasti empat lagi hak-hak asasi pengguna iaitu :
(a) Hak Untuk Mendapat Keperluan Asas;
(b) Hak Untuk Mendapat Gantirugi;
(c) Hak Untuk Mendapat Pendidikan Pengguna; dan
(d) Hak Untuk Mendapat Alam Sekitar Yang Sihat dan Selamat.
(i) Hak Untuk Mendapat Keselamatan

4.4 - Para pengguna adalah berhak dilindungi dari bahaya yang mengancam kesihatan dan keselamatan jiwa semasa menggunakan barangan dan perkhidmatan.

Hak Untuk Mendapat Maklumat
4.5 - Pengguna adalah berhak mendapatkan maklumat maklumat Yang jelas mengenai kegunaan bahan-bahan Yang terkandung dan cara perniagaan barang atau perkhidmatan. Ini supaya para pengguna tidak di tipu.

Hak Untuk Membuat Pilihan
4.6 - Pengguna adalah berhak diberi peluang memilih barang-barang atau perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan mempunyai mutu yang memuaskan setiap kali pengguna membeli barangan atau perkhidmatan, maka ia adalah mengikat kontrak dengan penjualnya. Dalam hal ini tanggungjawab pengguna hanyalah perlu memilih barangan atau perkhidmatan yang diingini dan membayar dengan harga yang telah ditetapkan oleh para penjual untuk mendapatkannya.

Hak Untuk Menyuarakan Pendapat
4.7 - Pengguna adalah berhak menyuarakan pendapat apabila berasa tidak berpuashati terhadap barangan atau perkhidmatan yang diperolehi seperti tidak mendapat layanan yang sewajarnya. Apabila pengguna membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan bererti pengguna dan penjual telah mengikat sesuatu kontrak. Mengikut kontrak tersebut barang yang dibeli mestilah sempurna untuk kegunaannya atau seperti yang dinyatakan oleh penjual.

Hak Untuk Mendapat Keperluan Asas
4.8 - Pengguna adalah berhak kepada barangan dan perkhidmatan asas kehidupan seperti makanan, pakaian, perumahan, kesihatan dan lain-lain. Ini bermakna bahawa sebagai seorang pengguna kita adalah berhak kepada bekalan air yang bersih dan perkhidmatan kesihatan yang sempurna. Ini dapat mengelakkan daripada sebarang penyakit yang berjangkit berlaku.

Hak Untuk Mendapat Gantirugi

4.9 - Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang ‘mengelirukan’ serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
4.10 - Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh pihak berkuasa, pertubuhan-pertubuhan pengguna dan pengeluar barang-barang dan perkhidmatan atau para penjual yang menjadi agen mereka.

Hak Untuk Mendapat Alam Sekitar Yang Sihat Dan Selamat
4.11 - Pengguna adalah berhak untuk mendapatkan alam sekitar yang bersih dan sihat yang boleh memperbaiki mutu kehidupannya.

4.12 - Ini menunjukkan bahawa hak pengguna bukan sahaja terbatas kepada proses jual beli, tetapi merangkumi keadilan sosial dan ekonomi, pendidikan, alam sekitar serta penyertaan masyarakat dalam proses demokrasi. Namun begitu kebanyakan para pengguna masih lagi tidak menyedari dan memahami sepenuhnya hak - hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna. Keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan oleh sistem penyebaran maklumat mengenainya yang amat terbatas tetapi juga sikap acuh tak acuh para pengguna sendiri.

4.13 - Kebajikan pengguna (hak-hak pengguna) akan dapat dipertahankan dengan cemerlang dalam jangka masa panjang melalui pendidikan. Semakin tinggi standard pendidikan kepenggunaan di kalangan pengguna semakin tinggilah kesedaran dan keupayaan pengguna menilai secara lebih tepat ke atas faedah yang boleh mereka perolehi dari pembelian ke atas sesuatu barangan atau perkhidmatan serta berupaya menuntut haknya sebagai pembeli mengikut lunas-lunas keadilan dan undang undang. Pengguna yang peka dan mempunyai pengetahuan yang memadai dan pergerakan pengguna yang sihat akan menyediakan stimulus yang berharga kepada peniaga untuk menyediakan barangan dan perkhidmatan yang benar-benar dikehendaki pada masa, tempat dan harga yang sesuai.

No comments:

Post a Comment