Salam 1 Malaysia
Begitu juga kerajaan akan terus memberikan bekalan elektrik secara percuma kepada pengguna yang bil elektriknya di bawah RM20 sebulan sehingga Disember 2011. Pemberian percuma ini sebagaimana yang dibentangkan dalam bajet 2011.
Walaupun rata-ratanya pengguna domestik tidak akan mengalami kesan drastik terhadap semakan tarif elektrik, namun apa yang dibimbangkan ialah kemungkinan berlakunya kenaikan harga barang yang disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik tersebut. Ini berlaku disebabkan sektor industri, termasuk industri kecil, turut mengalami tempias kenaikan tarif elektrik. Lazimnya apabila sektor ini mengalami kenaikan kos, maka kenaikan tersebut akan dilepaskan semula kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang. Kebimbangan pengguna ini ada asasnya berdasarkan pengalaman kenaikan tarif elektrik pada tahun 2008 dahulu. Begitu juga dengan kenaikan bahan api dan gula pada akhir 2010 dan awal 2011.
Kerajaan mengatakan bahawa kenaikan tarif elektrik ini hanya membabitkan kenaikan sedikit kos operasi antara RM4.00 hingga RM5.00 sebulan. Namun terdapat peniaga yang menaikkan harga secara melampau, melebihi kenaikan kos yang sebenarnya mereka tanggung.
Oleh itu kerajaan perlu membuat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya. Dalam hal ini kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan tegas.
Dalam masa yang sama juga, pengguna perlu melakukan penjimatan dalam menggunakan tenaga elektrik. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh FOMCA semasa Kempen Penjimatan Tenaga, mendapati kebanyakan pengguna sering membazirkan tenaga elektrik. Oleh itu mereka perlu menjimatkan penggunaan elektrik di rumah mereka dengan menggunakan peralatan elektrik jimat tenaga serta menutup peralatan elektrik apabila tidak digunakan, dan bukannya meletakkannya pada mode “standby”. Demikian juga apabila keluar bilik, tutup dahulu lampu dan kipas.
Banyak lagi tip penjimatan yang boleh dilakukan oleh pengguna sekiranya mereka ingin menjimatkan penggunaan elektrik. Bak kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”
Kerajaan juga perlu meneruskan usaha untuk memperkembangkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Kebergantungan kepada sumber tenaga yang berasaskan fosil pada masa ini dalam menjana tenaga elektrik akan terus membebankan sektor penjanaan tenaga elektrik berikutan daripada harga bahan bakar yang tidak stabil dan terus meningkat.
No comments:
Post a Comment