Salam 1 Malaysia 
Tidak terlalu awal untuk mengajar anak  anda tentang pengurusan kewangan. Kebanyakan syarikat kini menjadikan  kanak-kanak seawall usia 18 bulan sebagai sasaran untuk memasarkan  produk mereka. Didiklah anak anda tentang pengurusan kewangan sebelum  syarikat tersebut mengajar mereka untuk berbelanja. Kanak-kanak boleh  diajar untuk menyimpan duit dalam tabung walaupun sebelum mereka tahu  cara untuk mengira duit. Bak kata pepatah melayu "Meluntur buluh biarlah dari rebungnya" .
Mengajar anak anda tentang pengurusan  kewangan dari usia muda dapat membimbing mereka menuju ke arah masa  depan yang celik kewangan.  
Kenali tentang wang
Kebanyakan  kanak-kanak tidak tahu dari mana datangnya wang. Mereka menganggap wang  datang dari bank atau poket ibu bapa mereka. Oleh itu amat penting  untuk memberi kefahaman kepada mereka bahawa wang bukan jatuh dari  langit. Seseorang itu perlu bekerja untuk mendapatkan gaji. Dengan ini,  mereka akan memahami bahawa sukar bagi ibu bapa untuk mendapatkan wang,  dan mereka tidak sepatutnya membazir wang. 
Pada peringkat awal,  anda perlu mengajar anak anda tentang duit kertas dan syiling. Biarkan  mereka untuk cuba umembuat bayaran sendiri semasa membeli barang.    
Nilai untuk wang 
Semasa  membeli belah, anda boleh menunjukkan kepada anak anda produk sama  dengan jenama dan harga yang berlainan. Kira produk yang mana adalah  senilai dengan harganya. Terangkan kepada mereka cara untuk  membandingkan harga barangan yang berlainan jenama dan di kedai yang  berlainan sebelum membeli sesuatu barang. Bawa mereka ke pusat membeli  belah untuk membiasakan mereka dengan harga pasaran sesuatu barang. 
Menetapkan matlamat kewangan
Ketahui  benda yang anak anda hendak membeli. Bantu mereka untuk menetapkan satu  matlamat kewangan benda yang mereka hendak beli sekarang (jangka masa  pendek) dan juga benda yang mereka hendak beli kemudian (jangka masa  panjang). Selepas menetapkan matlamat, bantu mereka untuk memikirkan  cara mereka boleh mencapai matlamat mereka seperti menabung. 
Proses  ini bukan sahaja dapat membantu anak anda untuk menguruskan wang mereka  dengan baik, tetapi juga dapat memenuhi kepuasan mereka. Ini berlaku  semasa mereka mencapai matlamat mereka dengan wang yang mereka simpan. 
Perbelanjaan
Ajar  anak anda tentang kuasa pembelian mereka, iaitu berapa yang mereka  miliki dan berapa yang mereka mampu untuk berbelanja. Biar mereka faham  bahawa wang akan habis jika digunakan. Ajar mereka tentang konsep  keperluan dan kemahuan, iaitu mereka perlu memahami dan tahu membezakan  benda yang mereka betul-betul memerlukan dan benda yang mereka mahu  untuk kepuasan diri. 
Ajar anak anda untuk berbelanja secara  bijak dan tidak dipengaruhi oleh media. Berbincang dengan mereka dengan  iklan yang mereka tengok. Bincang dengan mereka dakwaan dan gimik iklan  tersebut serta benda yang sebenarnya dijualkan oleh syarikat tersebut.  Contohnya, serbuk pencuci yang mengatakan baju akan menjadi putih  selepas menggunakannya, sebenarnya tidak seputih dalam iklan. 
Simpanan
Berbincang dengan anak cara mereka dapat menyimpan wang dengan:
- Menyimpan sebahagian wang  daripada wang saku harian mereka
- Mengaitkan simpanan dengan benda yang mereka hendak membeli. Ini akan mendorong mereka untuk menyimpan
Tunjukkan kepada anak anda jika dia menyimpan RM1 sehari, maka pada akhir bulan dia akan mempunyai RM30. 
Berbincang  dengan mereka amaun yang mereka perlu simpan daripada duit saku mereka  setiap hari untuk mencapai matlamat mereka. Galakkan anak anda dengan  menyimpan secara berterusan dengan menambahkan tabung mereka jika mereka  menabung untuk suatu jangka masa. Pengalaman simpanan pertama yang baik  akan menggalakkan anak anda untuk menyimpan lagi. 
Membantu yang lain 
Berbincang  dengan anak anda tentang membantu orang lain yang bernasib malang dari  segi wang, barangan atau sokongan. Ini boleh dibuat dengan membantu  saudara-mara atau kawan-kawan yang memerlukan pertolongan. Berkongsi  dengan mereka pengalaman seseorang yang pernah membantu anda atau yang  anda pernah membantu orang lain. Anda juga boleh membaca berita tentang  sesuatu kerja amal yang telah dijalankan oleh sesuatu organisasi atau  seseorang. 
Melibatkan anak anda dalam kewangan keluarga
Kadang  kala ibu bapa menghadapi kesukaran untuk melarang anak mereka membeli  sesuatu barang. Anda hendaklah memberitahu anak anda tentang kedudukan  kewangan keluarga dengan menerangkan pendapatan isi rumah dan  perbelanjaan bulanan rumah (rumah, kereta, bil-bil, pendidikan). Dengan  ini mereka dapat memahami situasi kewangan rumah dan tidak membazirkan  duit dengan sesuka hati. Libatkan mereka dalam membuat keputusan membeli  sesuatu barangan rumah seperti TV. Mereka akan berasa mereka juga salah  satu ahli keluarga yang bertanggungjawab untuk menjaga kewangan  keluarga.